Saya Pengguna Bijak ! sayapenggunabijak

17/04/2012

Dasar Jaminan Air Dilancar


Berita Harian Online                                                                                                                    25/3/2012

Telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 
                                                                                                                                                       

PARIT BUNTAR: Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 dalam menentukan hala tuju masa depan untuk sektor sumber air berdasarkan kajian semula sumber air negara dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. 

Muhyiddin berkata, DSAN penting ke arah merintis proses memastikan bekalan air yang terjamin pada era pembangunan ekonomi negara, khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran dan pertambahan penduduk yang pesat.
Katanya, DSAN yang disedia berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara bagi 2010 hingga 2050, turut menetapkan prinsip asas sumber air negara yang menyentuh isu air untuk makanan dan pembangunan luar bandar dengan jelas.
“Prinsip itu menekankan mengenai perlunya sumber air yang mencukupi untuk jaminan bekalan makanan selain membantu menaik taraf pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya berucap merasmikan dan melancarkan Sambutan Hari Air Sedunia 2012 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Air dan Jaminan Makanan’ dan DSAN di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini, semalam. 

Beliau diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang turut menyampaikan Anugerah Tesis Sumber Air dan Hidrologi kepada pemenang Dr Farah Aini Dahalan yang merangkul Anugerah Emas Doktor Falsafah Terbaik, Roslan Zairi Mostapa (Anugerah Emas Sarjana Terbaik) dan R Gillian Eve (Anugerah Emas Sarjana Muda Terbaik). 

Muhyiddin yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, beliau berharap pelbagai langkah strategik untuk mengenal pasti dan menambah sumber air negara, termasuk sumber air bawah tanah yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber alternatif menampung permintaan air di negara ini. 

“Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati isi padu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion. 
“Sehubungan itu, saya berharap kajian serta pembangunan sistematik dan menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah pengurusan air bersepadu, dapat dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di negara ini pada masa depan,” katanya. 

Katanya, Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melaporkan ketika ini hampir satu bilion penduduk dunia berdepan masalah kekurangan makanan dan nutrisi. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian penduduk Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang tinggal berdekatan Sungai Kerian akan mendapat faedah besar selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kerian yang kerja utamanya membabitkan pembinaan benteng sungai sepanjang 300 kilometer dan rumah pam.








Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara

Peningkatan harga makanan dan kekurangan bekalan di peringkat antarabangsa telah menyebabkan krisis makanan berlaku di beberapa buah Negara. Sungguhpun demikian, bekalan makanan dalam Negara pada masa ini termasuk bekalan makanan yang diimport masih mampu menampung permintaan rakyat Malaysia. 

Dalam keadaan dimana harga makanan dunia terus meningkat sejak awal tahun 2008, Kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memastikan bekalan makanan Negara sentiasa mencukupi dengan harga yang berpatutan kepada pengguna. 

Untuk tujuan tersebut, Kerajaan telah meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) pada 2 Mei 2008 bagi:-
  1. Meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agro makanan bagi memenuhi tahap sara diri.
  2. Memastikan pengusaha pertanian mendapat pendapatan yang setimpal serta menjamin pengeluaran bahan makanan tidak menurun.
  3. Memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

Bagi memastikan matlamat DJBM tercapai, Kementerian Pertanian telah merangka tujuh (7) program/projek utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2008-2010 melalui Jabatan/Agensi di bawah Kementerian. Bagi tahun 2008, program/projek yang dirancangkan meliputi:-
  1. Peningkatan pengeluaran beras
  2. Pewujudan stok penimbal beras
  3. Program peningkatan pengeluaran dan produktiviti  tanaman, perikanan dan ternakan.
  4. Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha Pertanian
  5. Mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian
  6. Pelaksanaan Program Bumi Hijau
  7. Pembangunan tanah terbiar dan kolam terbiar untuk meningkatkan pengeluaran

Jabatan Pertanian Malaysia diberi tanggungjawab melaksanakan 5 program / projek iaitu:-
  1. Projek perataan sawah – jelapang / luar jelapang
  2. Projek taman kekal pengeluaran makanan
  3. Projek pembangunan tanah terbiar
  4. Program bumi hijau
  5. Pemberian insentif bagi menggalakkan peningkatan pengeluaran makanan

Disamping bertanggungjawab melaksanakan kelima-lima program/projek di atas, Jabatan Pertanian juga bertanggungjawab sebagai Ketua bagi pelaksanaan keseluruhan projek peningkatan pengeluaran padi/beras. 

Dasar Jaminan Makanan Negara ini diharap dapat membantu dan meringankan beban peningkatan kos pengeluaran serta menggalakkan peningkatan pengeluaran hasil tani bagi petani negara yang terlibat dalam pengeluaran tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, akuakultur dan ternakan.










::

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

03/04/2012

Sumber Air Dirawat Untuk Memberi Kualiti Terbaik Kepada Pengguna !

Kita cenderung menggunakan air permukaan seperti sungai sebagai air mentah. Namun air permukaan mudah tercemar dan perlu dirawat. Untuk memeriksa kualiti air mentah, banyak parameter yang perlu dilihat seperti kekeruhan, kekabutan air, warna, keasidan (pH), bakteria, logam dan pencemaran (kimia). Jika air tersebut bersih, kadar kekeruhannya rendah, manakala jika air tersebut kotor, kadar kekeruhan adalah tinggi terutama jika hujan lebat dan tanah runtuh. 
Proses Penapisan
Langkah pertama dalam proses rawatan air ialah penapisan. Penapisan diletakkan di tempat kemasukan air yang diambil daripada sumber air seperti sungai dan berfungsi untuk menyingkirkan objek/sampah besar di dalam sungai bagi mengelakkan masalah tersumbat dan kerosakan di stesen pengepam atau Loji Perawatan Air. Tempat kemasukan ialah struktur yang mengumpulkan dan memasukkan air dari sungai, terusan atau empangan ke Loji Perawatan Air. Bagi proses sebelum perawatan, penapis halus digunakan menghalang daun-daun kecil atau zarah daripada menyumbat peralatan di dalam loji.
Sekiranya air mentah terlalu kotor, lembangan sebelum pengenapan (empangan) boleh digunakan untuk membolehkan zarah yang terlalu berat (seperti pasir) enap sebelum proses utama bermula. Terdapat elemen yang tidak dikehendaki di dalam air seperti masalah warna, bau dan rasa yang disebabkan oleh logam seperti besi dan mangan. Bahan-bahan ini boleh disingkirkan melalui pengoksidaan iaitu mewujudkan turbulens agar air dan udara boleh bercampur. 
Proses Pengklorinan, Pembauran, Penggumpalan, Pengelompokan, Pemendapan dan Penurasan. 
Bagi proses rawatan air pula merangkumi pengklorinan, pembauran, penggumpalan, pengelompokan, pemendapan dan penurasan. Klorin akan ditambah mengikut kesesuaian (had) untuk mengawal masalah rasa, bau serta mengawal pertumbuhan alga dalam loji perawatan. Kapur dimasukkan untuk menyesuaikan keasidan air supaya proses perawatan lebih berkesan. Bahan gumpal dimasukkan bagi membentuk zarah yang besar dan berat untuk enap (disingkirkan). 

Pengelompokan oleh polimer dapat menggabungkan zarah semasa penggumpalan dan disingkirkan. Pemendapan berlaku di dalam tangki besar, di mana air mengalir perlahan dan kelompok mempunyai waktu untuk tenggelam ke bawah. Air yang bersih dan jernih dikeluarkan dari tangki. Turas di loji perawatan air mengandungi lapisan pasir. Zarah yang kecil tidak dapat melalui turas kerana melekat pada pasir. Zarah yang melekat pada pasir akan terungkai dan timbul ke permukaan. Air ini dikumpulkan dan menjadi air sisa. Air berturas melalui dua peringkat perawatan sebelum sampai ke tangki air jernih.

Proses  Pengenyahjangkitan 
Selepas perawatan, proses pengenyahjangkitan dilakukan bagi membunuh organisma yang boleh menyebabkan penyakit dengan penambahan klorin. Kemudian, air akan memasuki ke tangki air jernih. Kapur ditambah semula untuk menyesuaikan keasidan air bagi mengelakkan hakisan pada struktur dan tali paip hiliran. Terakhir, fluorida ditambah (jumlah kecil) dalam air terawat untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi.

Semua peringkat yang terlibat di dalam proses rawatan air daripada pengambilan kepada penyimpanan-penyimpanan air dan mutu kualiti dapat memastikan air yang diproses oleh setiap syarikat berkaitan akan memastikan agar pelanggan dapat menerima air yang berkualiti tinggi serta kuantiti yang mencukupi.


Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

23/03/2012

Berita Pengguna : MoA Bertanggungjawab Menjamin Bekalan Makanan Mencukupi

Sejak kebelakangan ini ramai yang  membicarakan masalah kenaikan harga bahan- bahan makanan terutamanya harga beras yang merupakan makanan asas atau ruji penduduk negara ini. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam memastikan kecukupan dan keselamatan bahan-bahan makanan, MoA telah merangka satu dasar yang cukup penting iaitu “Dasar Jaminan Bekalan Makanan dan Langkah-langkah Bagi Meningkatkan Pengeluaran Makanan Negara”. Memandangkan MoA kebelakangan ini menjadi fokus utama semenjak bermulanya krisis bekalan makanan dunia lagi, adalah amat penting bagi warga Kementerian memahami dasar dan langkah-langkah yang telah dipersiapkan bagi menangani cabaran tersebut. 

Harga makanan dunia telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini. Jika diamati, kenaikan harga bahan-bahan makanan asas khasnya bijirin adalah amat ketara sekali. Harga beras di pasaran antarabangsa telah meningkat di antara 46% sehingga 184% pada akhir bulan April 2008 berbanding harga purata bagi tahun 2007. Bahkan, harga bijirin-bijirin yang lain juga meningkat dengan ketara. Apa yang jelas, peningkatan harga ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti perubahan iklim dan bencana alam, misalnya kemarau yang berpanjangan di Australia, yang sudah semestinya di luar kawalan manusia. Peningkatan pertumbuhan penduduk dunia adalah sebanyak 1.5%, berbanding pengeluaran padi dunia 1% pada tahun 2007 iaitu 650 juta tan metrik. Tambahan pula, penggunaan sumber makanan untuk penghasilan  biofuel terutamanya di Amerika Syarikat telah mengurangkan kawasan tanaman ruji untuk makanan juga telah menyukarkan lagi keadaan.Faktor-faktor ini diburukkan lagi dengan peningkatan permintaan yang menyebabkan persaingan sengit dalam mendapatkan bekalan beras di pasaran dunia. Tindakan mengenakan kawalan eksport beras seperti harga eksport minimum, cukai eksport dan sekatan eksport oleh China, India, Kemboja dan Vietnam tidak banyak membantu dalam mengatasi masalah ini.

Dasar Jaminan Bekalan Makanan adalah terdiri daripada langkah jangka masa pendek yang akan dilakukan dengan serta-merta pada tahun ini dan langkah jangka masa sederhana sehingga tahun 2010. Langkahlangkah ini telah dibuat bagi:
               • Meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agro-makanan;
               • Memastikan pengusaha pertanian mendapat pendapatan yang
                  setimpal bagi menjamin pengeluaran bahan makanan tidak merosot;
               • Memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan
                  selamat dimakan.

Semua bahan-bahan makanan yang dikenal pasti adalah berdasarkan Indeks Harga Pengguna iaitu produkproduk strategik termasuk beras, ikan, daging ayam, daging lembu, daging kambing dan sayur-sayuran. 
Bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi, dasar tersebut juga telah mengenal pasti 7 langkah yang telah diluluskan oleh Kerajaan pada 2 Mei 2008 dengan peruntukan sejumlah RM2,500 juta.


Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen